April 11, 2011

menjadi gagah

seringkali
yang dimahu itu tak akan bergolek golek lompatnya ke riba. kita juga, kadangnya punya rasa hendak pada yang beribu, seperti mahu pada yang dirindu. tapi seperti yang seringkalinya; tak selalu yang dimahu itu hadir. cuma mungkin hari ini tuahnya bila dia diberi Tuhan untuk melepas cumbu rindu pada yang lama terkurungkan dek matahari yang membahang dan hujan yang menggila -- dan hari ini Tuhan hadirkan pelangi itu khusus untuk ditongkahkan pada mendung awannya. gagah menepis pergi rintik hujan yang berbaki sedari semalam. ya, sebab Tuhan tak pernah lupa. yang selalu dan sering itu hanya dia.

setelah sekian lama terkaku, akhirnya hari ini dia tekad untuk melangkah. itu pun setelah puas diketukhempuk berulang kali, diejekjelik berjuta kali. bukan dia tak serik. tapi lohong rasa yang ditinggalkan dulu bagainya terlalu perit. gusar dia pada sembam yang parah kala mula melangkah nanti. bukan takut. tapi lebih kepada berjaga jaga.

Tuhan
terima kasih untuk sapaan yang ini. jauh dia tertinggalkan dek masa rupanya. kalau mahu dibagai, umpamanya dia itu yang ke lapan antara lelaki lelaki yang lama didiamkan bersama raqim yang setia menemani panjang lena mereka di gua itu. tapi dia bukanlah antara mereka yang kuat imannya kala Tuhan memilih untuk ditutupkan telinga dari tohmah dunia. cumanya dia, seperti lelaki lelaki itu, juga dibiarkan dalam tidur yang enak untuk diteguhkan hatinya saat disapakan lembut suara Tuhan. manakala mereka itu hatinya diteguhkan untuk bangun dan gagah menghadap Raja Dikyanus yang zalim dan sombong.

dan malam itu saat alam didiamkan, dalam esak tangisnya, perlahan dia berbisik cinta, mendendang rindu pada sejadah yang lama ditinggalkan. seolah anak kecil yang berjaya mendapatkan ibunya setelah berjam2 terpisah, hilang dalam ramai. melebat sendunya.

Tuhan
selalu selalulah begini. dia itu terlalu pelupa, dan alpa itu sebahagiannya. dia itu, dalam melalui sisa sisa hidup yang tinggal, seringnya disapa berat rasa untuk melangkah. walau tidak dijengah lama ke belakang, tapi begitu berat kakinya untuk digerakkan ke destinasi seharusnya. kalah pada bisik bisik jahat di telinga. goyah benar dia bila diuji begitu.

dan itu tentang dia dan sebahagian kisahnya.

dan kita
berapa kali pernah kaki itu kematu, lama terpakukan pada langkah yang kosong semata mata jiwa yang merasa belum puas menikmati binasa dengan pilihan yang disengajakan?

dan saat semua yang terwujudkan lama dulu satu persatu dikutip Tuhan, disimpankan jauh jauh, namun kita masih lagi kaku pada langkah yang mula tadi. qiam merenung pada jejak yang jelas k o s o n g . memandang seolah andai bisa ditembus jejak ini, pasti nanti akan ditaburkan kembali satu persatu yang dikutip Tuhan tadi. dan akhirnya andai dan kalau tadi meninggalkan kita jauh dari realiti - yang diambil itu terlalu mustahil untuk kembali. akhirnya kita tak ke mana mana. teguh berdiri di balik tembok yang dibina jauh dari dunia.

dan andai yang diandaikan itu pernah terlewatkan mana mana antara kita, maka teruskanlah melangkah. usah dibiar sampai kematu kaki yang dua itu pada langkah yang tak beranjak. jangan semata ditunggu magis Tuhan baru nak melompat. pelangi itu terlalu indah. dan harus diingatkan bahawa indah itu hanya pada yang elok tersimpan dan tersorokkan (mutiara misalnya). kalau pelangi itu selalu Tuhan tunjuk tunjukkan, maka di mana indah dan istimewanya?

jadi usah ditunggu pelangi semata. usahalah. dan andai nanti mendung awan itu dirasakan tak tertanggung dek rasa, lepaskan saja. bebaskan.

biar basah bumi.

nikmati setiap titis yang jatuh, hayati saat indahnya menari dalam hujan -- sebab di situ tersimpannya kudrat kau untuk kembali bangkit menghadap bahang mentari.

No comments: