March 17, 2013

Yang tak mungkin terjadi

Dan bintang memilih untuk pergi. 
Pada bulan disisipkan senyum pungguk yang menguntum nun di hujung dahan meranti. 
Bulan bungkam. 

Bisik bulan;
Bintang jangan jatuh dulu. Nanti nantilah dulu. Meski bulan belum mahu meninggalkan sini semata demi pungguk yang memuja separuh mati. Bulan takkan biar siang. Tunggulah di sini dengan bulan. Bintang jangan ditongkah teori Tuhan.

Dan bintang tinggal. 
Bulan sirna.
Bintang indah menari.
Bulan megah dengan pinjam terang sang mentari.

Bisik bintang;
Dan pungguk, mendongaklah, berlagulah seperti lazimmu waima bersulam sendu. 
Kerna alam ini indah pada fitr atur asSyakir tanpa perlu diolah ubah semata demi mahu kamu.
Maafkan aku.

February 03, 2013

Berhenti di kamu

"Hati kamu bukan di sini.
Pergi.
Terus dan hidup."

Mungkin bukan pada kamu,
tapi denyut aku berhenti di kamu
menggagau nafas dalam tiap senyum kamu.

January 17, 2013

Rahsia

tentang satu cerita
yang takkan pernah ditahu orang;

di antara satu jiwa yang paranoid rasa
dan satu mendetak keliru;

KITA,
pernah terwujudkan.

dan tentang luka yang takkan pernah terobati;

percaya yang disampahkan.

January 12, 2013

Rawan

Tuhan,
Barangkali jika Engkau gugurkan gugus bintang yang leka menari itu,
mungkin baru aku 'kan dipandang bulan.

January 11, 2013

Pantun Rindu


Harum-harum si bunga melati,
dipetik jangan, nanti pasti 'kan layu;
Manis-manis senyum si sunti, 
rajuk di hati siapa yang tahu.

Sungguhpun simpan di dalam peti, 
permata jeli masih bersinar;
Sungguhpun simpan di dalam hati, 
lihat ke sini ada yang dengar.

Pergi teruna bersama belati, 
menyisip janji buat dara idaman; 
Manis-manis senyum si sunti, 
menanggung rindu dari kejauhan.

Permata intan ratna manikam, 
jadi sebati buat kalungan;
Jangan biarkan rindu menikam, 
tenangkan hati dengan kenangan.

Buah keranji dalam sampan, 
papan disorong pauh dilayang; 
Manakan bisa ditiup jampi dengan kenangan, 
bila yang dirindu bulan dimahu bintang.

Hati yang sendu jatuh terhempas, 
sekampung heboh orang bertanya;
Bulan merindu bintang nak rampas, 
biarlah jodoh jadi hakimnya.

Tweeterjaya
November 14, 2012
Mubs & Uncle Edry